|
BAGAIKAN pahlawan di zaman silam, penyerang Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali jelas tidak pernah mengenal erti mengaku kalah.
'Takkan Safee hilang di dunia', kecederaan otot yang selama ini membelenggunya ternyata tidak menghalang penyerang prolifik itu daripada berterusan menjaringkan gol semasa latihan ujian pemilihan bersama kelab England, Cardiff City setakat ini.
Semalam, Safee sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila berjaya mengatasi beberapa pemain pertahanan Cardiff sebelum meledak beberapa gol, dan aksinya itu dikatakan mula menggamit perhatian pengendali Cardiff, Malky Mackay yang kini dikatakan lebih cenderung menguji Safee berbanding penyerang lain semasa sesi latihan tersebut.
Doa ribuan peminat bola sepak tanah air yang mengiringi pemergiannya ke bumi Cardiff sejak Isnin lalu bagi memburu misi sebagai pemain pertama Malaysia beraksi dalam kancah saingan bola sepak England ternyata berbaloi apabila Safee tidak lagi dihantui kecederaan itu.
Pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab. Rahim berkata, buat masa ini Safee masih dipantau pengawai perubatan kelab tersebut bagi mengelak kecederaannya bertambah buruk meskipun Safee memberitahu tidak lagi merasa terjejas akibat kecederaan lamanya itu.
"Safee memberitahu dia tidak lagi merasa sakit semasa melakukan percubaan ataupun ketika menggelecek bola, dan ia sememangnya perkara positif apabila dia berjaya menjaringkan beberapa gol hari ini (semalam) dalam sesi latihan setelah kali pertama melakukannya sebaik menjalani sesi latihan Selasa lalu.
"Misi Safee untuk menyarung jersi Cardiff juga agak cerah apabila dilihat lebih kerap diuji berbanding penyerang lain, dan saya harap Safee dapat mengekalkan aksi konsistennya selepas ini," katanya kepada Kosmo!
Episod perjalanan Safee bagi menjadi pemain pertama negara bermula apabila mendapat 'lampu hijau' daripada majikannya, Pelita Jaya bagi mengharungi sesi ujian pemilihan bersama Cardiff selama kira-kira dua minggu sehingga 27 September depan.
Selain Safee, turut dipanggil mengikuti ujian pemilihan tersebut ialah bekas rakan sepasukannya di Selangor, Safiq Rahim dan aksi kedua-dua pemain tersebut dikatakan mula menggamit perhatian setelah beraksi cemerlang dalam Kejohanan Prajelajah Asia baru-baru ini.
Malah, ketajaman Safee dalam melakukan aksi penyudah ketika beraksi di pentas antarabangsa ketika ini persis lagenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari satu masa dahulu juga dikatakan banyak dipengaruhi oleh latihan keras yang dijalaninya sepanjang berada di Indonesia, dan Zakaria sendiri tidak menolak kemungkinan itu.
"Semasa beraksi bersama Pelita Jaya, Safee banyak beraksi dengan pemain-pemain antarabangsa yang lebih kompetitif, dan ia pastinya mempengaruhi corak permainannya agar menjadi lebih bahaya di depan gawang lawan.
"Malah, Safee juga berjaya menjaringkan tujuh gol meskipun hanya beraksi sebanyak 14 kali bersama Pelita Jaya sebelum ini, selain turut dianugerahkan pemain terbaik perlawanan sebanyak tiga kali," katanya.
2 comments:
wow,bf aku msuk paper, glamour i..hehe
pingu pasan hehehe
Post a Comment