Para
Wali adalah kekasih-kekasih Allah, golongan yang amat hampir dengan
Allah (muqarrabin). Allah jelaskan dalam satu hadis Qudsi bahawa mereka
itu mendengar dengan pendengaran Allah, melihat dengan penglihatan
Allah, dan berkata-kata dengan perkataan Allah.
Memuliakan
mereka bererti memuliakan Allah, manakala menghina mereka bererti juga
menghina mereka bererti juga menghina Allah. Hingga ada ulama berkata,
menghina wali Allah dengan kata-kata dan sebagainya, adalah petanda mati
dalam su'ul khatimah (penamat yang buruk).
Sebab itu juga Allah berfirman dalam hadis Qudsi lain:
"Barangsiapa memusuhi wali-Ku, maka Aku akan mengisytiharkan perang terhadapnya". (Riwayat Al Bukhari)
Berkata
seorang ulama yang arif dalam tulisannya bahawa: "Wali Allah atau
kalimah jamaknya aulia Allah. Wali juga bererti pemimpin. Boleh juga
diberi erti kekasih yang dilantik oleh Allah. Jadi seseorang ulama yang
mencapai darjat wali Allah ini adalah seorang kekasih Allah yang
dilantik oleh Allah untuk memimpin. Wali Allah adalah orang yang paling
bersih, murni lahir dan batin dan orang-orang suci-Nya".
Ulama
Sufi menjelaskan bahawa terdapat bermacam-macam jenis atau peringkat
wali yang dilantik, oleh Allah dengan syarat-syarat perlantikan yang
hanya Allah juga mengetahuinya.
Di
bawah disenaraikan antara wali-wali besar yang sebahagiannya bukan
sahaja memerintah negeri dan negara bahkan memerintah dunia:
i. Sahabat-sahabat Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam terutama Khulafa’ur Rasyidin.
ii. Imam mazhab [dalam ilmu feqah dan tauhid] terutamanya imam mazhab yang empat.
iii. Para mujaddid terutamanya Sayidina Umar Abdul Aziz [mujaddid kurun pertama] dan Imamul Mahdi [mujaddid kurun ke-15].
iv. Para perawi hadis seperti Imam Bukhari, Imam Termizi dan Imam Muslim.
v. Pengasas-pengasas tareqat seperti Tareqat Naqsyabandiah, Ahmadiah, Qadariah, Aurad Muhammadiah dan lain-lain.
vi.
Ulama-ulama besar sufi seperti Imam Hassan Al Basri, Syeikh Junaid Al
Baghdadi, Syeikh Abu Yazid Bustami, Syeikh Abdul Kadir Jailani, Imam Al
Ghazali, Syeikh Abu Hassan Syazali, Imam Sayuti, Imam Nawawi, Syeikh
Ramli dan ramai lagi.
vii.
Di kalangan wanita, antaranya ialah Sayidah Nafisah dan Rabiatul
Adawiyah. Juga isteri-isteri Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam dan
puterinya Siti Fatimah Az Zahrah
Terdapat
wali yang orang tidak kenal kewalian dan kemuliaan mereka disangka
gila. Misalnya Uwais Al-Qarni, yang hidup sezaman dengan Rasulullah
sollallahu `alaihi wasallam, tetapi tidak pernah berjumpa dengan
baginda.
Kewaliannya
diberitahu oleh baginda Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam sendiri
kepada Sayidina Umar Al-Khattab dan Sayidina Ali Abi Talib karamallahu
wajhah. Begitu juga dengan sahabat Huzaifah al-Yamani, walaupun tidak
terkenal dalam bidang kepimpinan tetapi banyak mengetahui rahsia-rahsia
kerohanian. Malah Sayidina Umar radhiAllahu `anhu pun merujuk kepadanya.
Demikian lagi peranan Nabi Khidir `alaihi salam di zaman Musa `alaihi
salam.
Wali-wali
yang tersembunyi ini pada lahirnya tiada apa-apa keistimewaan. Tetapi
sebenarnya mereka adalah manusia yang sangat penting pada dunia.
Sebab-sebabnya adalah seperti berikut:
1. Do'a mereka sangat makbul. Iaitu permintaan mereka Allah tunaikan. Rintihan mereka Allah beri perhatian.
2.
Walaupun tidak memimpin dan tidak terkenal, namun sikap hidup serta
percakapan mereka menjadi ikutan dan tiruan orang-orang sekeliling.
Ertinya, adanya mereka di satu-satu tempat sudah cukup untuk mengubah
akhlaq manusia.
3.
Dengan adanya orang-orang seperti mereka di muka bumi ini, maka Allah
masih menurunkan hujan, memberi rezeki dan memberi bantuan kepada semua
manusia termasuklah yang derhaka. Juga Allah pindahkan atau alihkan azab
dan bencana tenggelam atau karamnya bumi ini. Sekurang-kurangnya azab
itu dibuat bertahap-tahap, berperingkat-peringkat hinggalah berpeluang
bagi manusia menyelamatkan diri dan bertaubat. Sedangkan kalau azab itu
diturunkan, sekaligus secara menyeluruh, habislah manusia ini.
4. Ada hadis mengatakan, kerana mereka inilah (orang-orang soleh dan wali-waliNya) dunia belum dikiamatkan.
Sebagai
golongan istimewa di sisi Allah, mereka dianugerahkan penghormatan
dengan berbagai kelebihan dan kemuliaan berupa karamah yang tidak diberi
pada manusia biasa (orang awam). Justeru itu, tidak hairanlah di
kalangan orang-orang ramai akan mengaitkan cerita-cerita tentang karamah
apabila memperkatakan darihal peribadi seseorang wali itu.
Dalam
pada itu, orang awam umumnya hanya mengenali karamah-karamah berbentuk
zahiriah atau karamah hissi iaitu kejadian-kejadian luarbiasa yang
mencarik adat dan berlaku pada wali-wali dan dapat dilihat dengan mata
kasar.seperti karamah boleh berjalan di atas air, boleh berasa di dua
tiga tempat dalam satu masa, boleh terbang di udara, boleh bergerak dari
setempat ke setempat dengan sekelip mata dan sebagainya.
Tetapi
jarang orang mengetahui terdapatnya satu bentuk lagi karamah anugerah
Allah pada para aulia yang dipanggil karamah maknawiyah. Karamah
berbentuk ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi hanya dapat
dilihat dan diketahui oleh orang-orang yang mempunyai ketajaman mata
hati.
Keistimewaan
karamah maknawiyah antara lain ialah kata-katanya memberi kesan pada
hati pendengar hingga mendorong orang membuat perubahan pada jalan
kebaikan. Malah orang ramai akan ikut tingkah laku dan cakap-cakapnya.
Biasanya karamah bentuk ini lebih menonjol pada para wali yang memimpin
umat di samping dikurniakan juga karamah zahiri atau hissi.
Ini
kerana bukan senang memimpin orang ramai kepada kesedaran beragama dan
amalan Islam, lebih-lebih lagi zaman sekarang di mana orang ramai begitu
sibuk dengan kehidupan dunia hatta menilai agama pun berdasarkan
kedudukan, dan pengaruh wang ringgit.
Walaupun
terdapat sesetengah orang hebat berceramah di sana sini dan dapat
menghimpun ribuan orang mendengarnya, tetapi sayangnya para pendengar
tak boleh membuat perubahan melainkan dalam soal-soal ibadat khusus
sahaja. Manakala kehidupan seharian mereka tetap bercampuraduk dengan
aneka maksiat.
Di
sinilah peranan wali Allah yang memiliki karamah maknawiyah yang layak
memimpin umat manusia kerana akhlaq dan tuturkatanya dapat menarik orang
ramai kembali kepada cara hidup Islam tengah-tengah suasana kehidupan
yang penuh munkar. Tidak mustahil berlakunya dengan sekali dia
berceramah, berpuluh orang boleh buat perubahan.
Contoh
karamah maknawiyah lagi ialah dapat merasa kelazatan beribadah tanpa
diusahakan bersungguh-sungguh, dapat ditinggalkan maksiat tanpa
susah-susah mujahadah, dapat istiqamah dengan sesuatu amalan seperti
boleh berada di tikar sembahyang beberapa minit lebih awal pada setiap
waktu solat fardhu dan sebagainya.
Atau
karamah dapat mempertahankan wuduk untuk tempoh yang lama seperti
Syeikh Abdul Qadir Jailani, Uwais Al-Qarni, Rabiatul Adawiyah dan umum
para wali Allah yang solat Subuh dengan wuduk solat Isyak. Dan mereka
sentiasa dalam keadaan berwuduk setiap waktu dan ketika.
Nyatalah
dari kedua-dua bentuk karamah ini, karamah yang lebih utama adalah
karamah maknawiyah kerana ia boleh menyelamatkan tuanpunya diri daripada
api neraka. Ada wali yang dikurniakan satu bentuk karamah sahaja, ada
yang dapat kedua-dua sekali, bahkan ada wali yang berdoa kepada Allah
agar tidak dikurniakan karamah terutama karamah zahiriah kerana takut
tidak dapat menjaga nikmat Allah itu.
Bagaimanapun,
kedudukan aulia di sisi Allah tidak ditentukan oleh karamah. Sesetengah
wali tidak ada apa-apa karamah, tapi dia tetap mulia pada pandangan
Allah. Cuma banyak wali dikurniakan karamah kerana melaluinya Allah
hendak kuatkan agamaNya (sebagai hujjah mempertahankan kebenaran) dan
untuk memberi pengajaran atau menambah keyakinan pada diri wali itu
sendiri.
Bagi
wali yang menjadi pemimpin, sama ada pemimpin negara, masyarakat atau
jemaah, karamah merupakan kemudahan untuk mengatur masyarakat. Ini
berlaku pada beberapa orang wali seperti Tokku Paloh, Tuk Kenali, Syeikh
Muhammad Nur al-Kholidi, Syeikh Said al-Linggi dan Tuan Hussein yang
terkenal sebagai pemimpin masyarakat dan pemimpin jemaah pengajian di
Tanah Melayu.
Ada
wali yang tidak memimpin masyarakat secara langsung tetapi memainkan
peranan tersendiri sebagai pendidik masyarakat. Seperti kata seorang
ulama: "Pemimpin tidak rasmi ialah orang yang diikuti akhlaq dan
sifatnya (sikapnya) tanpa dia sedar". Kita dapati setiap orang wali itu
berperanan mengikut syakilah (bakat) masing-masing. Secara umum, mereka
adalah penguat agama dan pembawa kesejahteraan pada masyarakat serta
umat.
Dalam
sejarah, ada wali yang menjadi pemimpin negara seperti Khulafa'
al-Rashidin (Sayidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali), Sayidina Umar
al-Aziz, Muhammad al-Fateh, Sultan Murad (bapa kepada Muhammad
al-Fateh), Sultan Salahuddin al-Ayyubi dan lain-lain. Ada juga wali yang
menjadi pemimpin peringkat negeri seperti beberapa orang di kalangan
para sahabat (Sayidina Bilal, Abu Ubaidah, Sa'ad Abi Waqqas, Sa'id Amir
al-Jumahy dan lain-lain), kalangan wali songo di Tanah Jawa dan
lain-lain.
Ada
pula wali yang seperti tidak bermasyarakat tetapi kehadiran mereka
menyebabkan masyarakat dapat tumpang barakah, seperti Uwais al-Qarni.
Orang sepertinya terkenal di langit tapi tidak terkenal di bumi hingga
riwayat hidupnya pun tidak diketahui orang. Wali tetap ada di setiap
zaman. Setiap seorang wali yang meninggal, Allah akan menaikkan orang
lain menggantikannya sebagai wali mengikut darjat-darjat tertentu. Cuma
antara menonjol atau tidak menonjol mereka di tengah masyarakat.
Petikan dari buku Tujuh Wali Melayu
No comments:
Post a Comment