Bas rempuh kedai makan, 10 pelajar nyaris maut


Sebuah Honda Civic yang berada di laluan sebelah kiri rosak teruk selepas dilanggar bas yang terbabas setelah hilang kawalan akibat mengalami masalah brek.


Salah seorang mangsa kemalangan yang cedera sedang menghubungi ahli keluarga untuk memaklumkan kejadian menimpanya.

DUNGUN – Seramai 10 pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) yang sedang menikmati sarapan pagi ketika waktu rehat di sebuah kedai makan berdepan detik mencemaskan apabila secara tiba-tiba dirempuh sebuah bas yang terbabas di persimpangan lampu isyarat, dekat sini, pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 11.25 pagi itu dipercayai berpunca apabila bas ekspres dalam perjalanan dari arah Kemaman menuju ke Dungun itu dikatakan menghadapi masalah brek.

Sebaik tiba di Kilometer 84.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di persimpangan lampu isyarat, hadapan PSMZA itu, bas berkenaan dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar sebuah kereta Honda Civic lalu merempuh sebuah Perodua Kembara yang berada di sebelah kiri.

Bas dinaiki 10 penumpang itu kemudiannya merempuh tiang konkrit sebuah kedai makan menyebabkan 10 pelajar PSMZA yang sedang bersarapan pagi di kaki lima hadapan kedai tersebut lari bertempiaran menyelamatkan diri.

Bagaimanapun empat daripada pelajar tersebut, Azizul Hakimi, 18; Muji Rahman, 18; Ainil Iqmal, 18; dan Shahrul Azwari, 18, cedera di beberapa bahagian badan dipercayai terkena serpihan kaca dan besi dalam usaha untuk menyelamatkan diri ketika dirempuh bas terbabit.

Pemandu kereta Honda Civic, Ahmad Qasimi Mohamed, 27 dan rakannya yang duduk di tempat duduk hadapan, Melcolm Wee, 25, berjaya menyelamatkan diri dengan keluar melalui pintu sebelah kiri dan kedua-duanya dilaporkan cedera ringan.

Seramai 10 penumpang bas tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu bas, Zahari Muda, 39, dari Pengkalan Arang, Kuala Terengganu hanya cedera ringan.

Zahari kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Dungun manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Kereta Honda civic dan Perodua Kembara itu juga turut mengalami kerosakan selepas dihempap bumbung anjung kedai makan yang dirempuh bas ekspres berwarna kuning itu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian dan kes masih dalam siasatan pihaknya.

Lihat bas terbabas

"Ketika sedang menikmati sarapan pagi, tiba-tiba sebuah bas yang bergerak ke kiri dan kanan menghala ke arah kami lalu merempuh anjung kedai menyebabkan kami lari menyelamatkan diri.

"Kejadian berlaku sangat pantas, jika kami lambat beberapa saat kami pasti akan menjadi mangsa rempuhan bas itu,” kata Shahrul.

Shahrul bersama sembilan rakannya bagaimanapun bernasib baik hanya mengalami cedera ringan dalam usahanya menyelamatkan diri daripada dirempuh bas yang terbabas itu.

Menceritakan detik cemas itu Shahrul berkata, ketika itu dia baru sahaja tiba di kedai berkenaan untuk menikmati sarapan pagi bersama rakan sekuliahnya sebelum dikejutkan dengan rempuhan bas ekspres berkenaan.

“Jika saya dan rakan tidak melompat dan berlari keluar tentu kami semua akan cedera teruk,” kata Shahrul yang mengalami kecederaan pada bahagian lengan.

Ainil pula berkata, dia bersyukur kerana terselamat dalam kemalangan di hadapan PSMZA itu.

Katanya, dia sama sekali tidak menduga bas yang disangkanya akan berhenti di persimpangan lampu isyarat itu secara tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh kedai makan yang menjadi lokasi kegemarannya untuk menikmati sarapan setiap pagi itu.

“Yang pentingnya kami semua selamat walaupun mengalami luka kecil, kalau kena langgar bas yang besar itu, tak tahulah bagaimana nasib kami, mungkin dah kat hospital sekarang,” katanya.

Dengar bunyi brek dan dentuman kuat

Penumpang bas ekpres, Jamal Abdullah, 50, berkata, ketika kejadian, dia berada di tempat duduk paling hadapan di dalam bas tersebut.

Katanya, dia menyedari bas berkenaan tidak selamat selepas ia dalam keadaan tidak terkawal sebelum dikejutkan dengan rempuhan kuat ke arah kedai makan tersebut.

“Selepas rempuhan kuat itu saya berusaha menyelamatkan diri dengan keluar melalui pintu sebelah pemandu.

“Saya dan beberapa penumpang lain tidak cedera dan masing-masing bergegas keluar dari bas berkenaan,” katanya.

Seorang lagi penumpang, Sharifah Tuan Hussin, 42, berkata, dia menaiki bas tersebut untuk ke Kuala Terengganu.

Katanya, dia menyedari bas tersebut berlanggar setelah terdengar bunyi brek diikuti dengan dentuman kuat.

“Selepas berlakunya rempuhan itu, tanpa berfikir panjang saya terus keluar melalui pintu kecemasan di bahagian belakang bas.

“Bila turun saya dapati bas yang saya naiki telah merempuh sebuah kedai di tepi jalan, nasib yang lain saya belum pasti,” katanya yang juga seorang eksekutif pentadbiran.

sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/...s-maut-1.80383

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...