|
BAITULMUQADDIS - Tentera Pertahanan Israel (IDF) dilihat mula mengerahkan kira-kira 16,000 anggota tentera simpanannya semalam sebagai persiapan untuk menyerang Genting Gaza.
"Proses memanggil anggota tentera telah pun dimulakan. Sebagai sebahagian daripada Operasi Tiang Pertahanan, IDF akan mula merekrut 16,000 anggota simpanan," kata kementerian terbabit dalam satu tweet rasminya.
Pada Khamis lalu, Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak meluluskan proses untuk memanggil 30,000 tentera simpanan yang boleh dikerah bagi terlibat dalam operasi ketenteraan pada bila-bila masa.
Langkah itu dibuat ketika Israel terus memberi tekanan ke atas pejuang Palestin yang dilihat bakal meningkatkan serangan roket kepada operasi ketenteraan darat selepas sebutir roket mengenai pantai tidak jauh dari Tel Aviv. Roket kedua pula meletup di bahagian selatan bandar tersebut.
"Kami kini dalam proses meningkatkan operasi ketenteraan. Menteri Pertahanan sudah memberi kelulusan berdasarkan kepada permintaan tentera iaitu penambahan 30,000 anggota lagi.
"Kami akan mengenal pasti berapa ramai tentera yang perlu dipanggil. Ini bermakna kami mempunyai semua pilihan," kata jurucakap ketua tentera Israel, Brigedier Jeneral Yoav Mordechai kepada televisyen Israel, Channel 2.
Menteri Kanan Kabinet Israel, Moshe Yaalon turut menyatakan bahawa pihaknya sedang menimbang semua pilihan operasi ketenteraan. Ini termasuklah amaran akan menyerang Gaza bagi menghentikan serangan roket pejuang Palestin.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang warga Palestin terbunuh dan seorang lagi cedera akibat serangan udara Israel di bandar Khan Yunis semalam. "Ismail Qandil telah mati syahid dan seorang lagi mengalami kecederaan," jelas kenyataan perkhidmatan kecemasan Genting Gaza.
Jurucakap perkhidmatan kecemasan Genting Gaza, Adham Abu Selmiya memberitahu, dua orang penduduk Palestin telah meninggal dunia kerana cedera dalam serangan udara Israel di bahagian utara wilayah tersebut.
Menurutnya, tiga kematian pada Jumaat menyebabkan jumlah mangsa meningkat kepada 23 orang dengan 250 yang lain cedera.
Sementara itu, Presiden Mesir, Mohamed Mursi menyifatkan serangan Israel ke atas Genting Gaza sebagai pencerobohan kejam terhadap kemanusiaan, sambil menegaskan Mesir tidak akan membiarkan Gaza bersendirian.
Mursi membuat kenyataan itu dalam satu khutbah Jumaat di sebuah masjid di tengah Kaherah, lapor agensi berita Mena. Perdana Menteri Mesir, Hisham Kandil pulang semalam mengadakan lawatan selama tiga ke Genting Gaza.
"Kaherah tidak akan meninggalkan Gaza seorang diri. Mesir hari ini bukannya Mesir semalam. Masyarakat Arab hari ini juga bukan masyarakat Arab seperti sebelum ini," tegas Mursi. - Agensi
No comments:
Post a Comment