Sebelum saya memasuki jawapan, suka saya mengingatkan bahawa pemerintah kerajaan Islam silam, Sultan Murad ke-4 (memerintah 1623-1640 m) sangat kuat memusuhi rokok, sehinggakan beliau pernah melaksanakan undang-undang bunuh bagi penjual-penjual rokok dan perokok aktif di dalam Negara.
Adapun dari sudut hukumnya ; sebagai asasnya, para ulama berbeza pandangan dalam menentukan hukumannya berdasarkan berbezanya tanggapan masing-masing terhadap keburukan (mudarat) yang terhasil dari rokok. Hakikatnya, dalam hal ini, sebarang fatwa mestilah dirujuk kepada "ahl az-zikr" dalam halnya, "ahli az-zikr" dalam hal rokok adalah doktor perubatan (selain ulama) yang mampu mengenalpasti impak buruk dari rokok kepada tubuh dan kehidupan. Maka sebarang fatwa ulama yang tidak dibuat berlandaskan maklumat lengkap dari para doctor perubatan atau pakar kimia adalah kurang tepat dan tidak sepatutnya dijadikan pegangan.
Secara ringkasnya ulama terbahagi kepada 2 kumpulan dalam hukum rokok. Ia seperti berikut :-
1) HARAM :
Ia adalah ijtihad oleh majoriti ulama kontemporari termasuk Dar Al-Ifta Mesir, Lajnah Fatwa Saudi, Lajnah Fatwa Azhar, seluruh ahli persidangan Mencegah rokok ( persidangan di Madinah pada 2-5 Mac 1982) , Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikh Sayyed Sabiq, Syeikh Ahmad Syurbasi, Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaat, Syeikh Atiyyar Saqar. ( Akhbar al-Jumhuriyyah, 22 Mac 1979 ; Fatawa Muasiroh, 1/667; Al-Fatawa li Muhd Syaltut, Yasalunaka oleh Syurbasi dan Fiqh As-Sunnah)
Ulama silam yang mengatakan haram pula adalah Syeikh muhd alauddin haskafi al-hanafi, syeikh sulaiman al-Bujairimi as-Syafie, Syeikh Mustafa ar-Rihbani, Syeikh Ibrahim al-Laqqani al-Maliki dan ramai lagi. (Al-hukm as-Syar'ir fi at-Tadhin, Kumpulan Ulama, Kementerian Kesihatan Sedunia, 1988, hlm 25-26)
Kumpulan ini semakin kuat mengharamkan apabila terdapat maklumat yang menyebut terdapat unsur arak dan racun di dalam rokok, maka ia adalah seperti darah dan bangkai yang diharamkan kerana unsur kotor dan racun ( seperti nikotin, tar, alcohol methnol, karbon monoksida, ammonia dan lain-lain ) yang terkandung di dalamnya. ( Abu Ubaidah al-Mashur, At-ta'liqat al-hisan dzayl tahqiq al-Burhan, hlm 28 ; Dr Abd Sabur as-Shahin, As-Sajayir Halalun am Haramun,hlm 34-35 )
Pada tahun 1962, Fakulti Perubatan Diraja Britain mengesahkan kesan buruk rokok terhadap kesihatan, pada tahun 1964 Fakulti Kedoktoran Amerika mengeluarkan satu kajian setebal 387 halaman dan diterbitkan kandungannya di akhbar yang menyebut "Merokok memudaratkan kesihatan secara pasti, ia juga menyebut "rokok menjadi penyebab pelbagai penyakit membunuh " ( Rujuk Mahmud Nazim, At-Tibbun An-Nabawi Wal ‘Ilmi al-Jadid, 1/346 )
Maka dengan kenyataan-kenyataan ini Allah SWT menyuruh kita agar merujuk kepada ahli dalam sesuatu ilmu sebagaimana erti firman Allah SWT
" Maka hendaklah kamu bertanya kepada yang berpengalaman" ( Al-Furqaan : 59 ) ;
Oleh kerana itu, pandangan pakar perubatan dalam hal ini tidak boleh diketepikan oleh para ulama dalam membuat sebarang fatwa.
Selain keburukan dari sudut kesihatan, ia juga boleh memudaratkan hubungan kemasyarakatan dengan sebab baunya yang kuat dan busuk. Hal ini tidak dibenarkan oleh Islam berdasarkan sabda Nabi SAW ertinya
" Tiada boleh memberi mudarat dan membalas mudarat" ( Riwayat Malik, 1/122; Ad-Dar Qutni, 4/228; Al-Hakim 2/66 ; Sohih kata Hakim, dan di atas syarat Muslim kata az-zahabi, Albani : Ia punyai banyak jalan yang menguatkan satu sama lain sehingga naik ke darjat Sohih)
Hadith lain pula menyebut :
" Sesiapa yang memakan dari pokok ini , berkata bawang merah, bawang putih maka janganlah mendekati masjid-masjid kami, sesungguhnya (bau yang busuk) itu menyakiti Malaikat sebagaimana ia menyakiti manusia" ( Riwayat Al-Bukhari, KItab al-Azan, no 807 ; Muslim, Kitab Masajid wa Mawadi' as-Solat, no 876 )
2) HARUS MENGIKUT KEADAAN
Ulama yang dipihak ini adalah Syeikh Abd Ghani an-Nablusi, Syeikh Muhd Amin Ibn ‘Abidin, Syeikh Hasanain Makhluf (berpendapat hukumnya secara terperinci menurut keadaan ), Syeikh Hasan Makmun.
Antara dalil mereka adalah asal segala sesuatu yang tidak mudarat adalah halal dan beberapa dalil yang lain. Bagaimanapun, kesimpulan dalil mereka adalah lemah kerana ia bersandarkan pandangan mereka tanpa maklumat berkenaan keburukan dari sudut perubatan pada zaman itu. Hasilnya mereka memberikan fatwa hanya berdasarkan bau asap rokok yang busuk dan mengganggu, ketika itu, sudah tentu bau yang busuk sahaja tidak mampu menyebabkannya menjadi haram. Jelaslah pandangan mereka tidak mengambil kira maklumat baru perubatan.
Justeru, pada hemat dan kajian saya, hukum yang lebih tepat adalah Haram merokok kerana mudarat yang pelbagai dari sudut kesihatan tubuh sendiri, orang lain, dan baunya yang mengganggu orang lain. Malah kaedah Islam menyebut :
"Ad-Darar Yudfa' Bi Qadaril Imkan" ;
Ertinya : "Kemudaratan hendaklah ditolak sedaya upaya dan kemampuan" (Al-Madkhal Al-Fiqhil ‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/992)
Cuma Syeikh Al-Qaradawi di dalam Fatawanya (Fatawa muasiroh, 1/667) menjelaskan hukumnya berkata ( dengan sedikit ubahsuai olahan ) :-
a- Sekiranya seorang perokok cuba sedaya upaya memberhentikan tabiat rokoknya, bagaimanapun ia gagal, maka ia patut terus mencuba dan diberikan uzur setakat yang ia gagal. Perlulah ia menghalang dari menyebarkan tabiatnya kepada orang lain.
b- Walaupun ianya haram, tapi tidaklah haramnya besar seperti zina, mencuri dan lain-lain dosa besar. Setiap perkara haram ada tahapnya di sisi Shariah, ada yang dikira dosa besar dan ada yang kecil.
Dosa hasil rokok bolehlah di katakan termasuk dalam dosa kecil. Bagaimanapun perlu diingat, Ibn Abbas r.a menegaskan bahawa dosa kecil pasti menjadi besar apabila berterusan atau kesannya benar-benar memudaratkan. Kesimpulan Al-Qaradawi, rokok adalah haram secara pasti bagi MEREKA yang belum merokok, dan makruh(dibenci Allah) bagi seisapa yang telah terjebak sehingga sukar untuk keluar darinya dan masih berusaha. Apa yang pasti, segala jenis usaha bagi memberhentikan aktiviti buruk ini mesti dicari segera. Wallahu a'lam.
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
ORIGINAL ARTICLE : http://www.zaharuddin.net/content/view/259/95/
Pandangan dari Dr. Danial b. Zainal Abidin
Melihat kepada kemudaratan dan pembaziran yang disebabkan oleh rokok, seperti yang dipaparkan sebelum ini, maka
tidak ada hukum yang lebih sesuai baginya melainkan HARAM. Antara ulama yang mengharamkannya ialah, Syeikh
Ahmad As-Sanhuri Al-Bahuti dan Syeikh Ibrahim Al-Liqani dari Mesir, Syeikh Abdul Ghaith Al-Maliki dari Moroko, Syeikh
Najmuddin bin Badruddin dari Syria, Syeikh Ibrahim bin Jam’an dari Yaman, Syeikh Abdul Malik Al-‘Isyami
dan Muhammad bin ‘Alamah dari Mekah dan Madinah, dan ramai lagi. Dr. Yusuf Qardawi di dalam Fatawa
Mu’asirat telah berkata, “Dari penjelasan yang telah diberikan, saya berpendapat, pandangan yang
menghalalkan merokok tidak dapat diterima sama sekali malah pendapat sebegitu boleh dianggap sebagai salah.
Justeru, kita hanya mempunyai dua pilihan hukum: makruh ataupun haram.. (Berdasarkan kajian terkini), penetapan
hukum haram adalah lebih tepat di sudut alasan dan hujahnya”.
Penetapan hukum haram ini sudah pasti ada dalil dan hujahnya. Antara dalil dan hujah itu ialah:
Rokok Adalah Khabaith
Allah berfirman: “Dan dia (Rasul ) menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka
segala yang buruk (khabaith).” (Al-A’raf ayat 157) Ayat ini menunjukkan sesuatu yang khabaith (keji)
diharamkan oleh Islam. Imam Syafie mentafsirkan khabaith sebagai ‘sesuatu yang diharamkan berdasarkan
hujah syariat termasuk sesuatu yang kotor dan keji’. Rokok yang mengandungi 4000 bahan kimia toksik dan
beracun sudah pasti termasuk dalam kategori ini.
Rokok Melemahkan Dan Memudaratkan Diri
Merokok melemahkan umat Islam dan membawa kepada maut. Umat yang lemah tidak akan mampu memperjuangkan
maruah agama. Tambahan daripada itu mereka yang merokok seolah-olahnya telah membunuh diri mereka sendiri.
Allah berfirman: “Jangan kamu membunuh dirimu sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih
kepadamu.” (an-Nisa ayat 29) Dalam sebuah hadis, Ummu Salamah telah berkata, “Rasulullah melarang
dari mengambil setiap bahan yang memabukkan (muskir) dan yang melemahkan badan (muftir).” (Ahmad dan
Abu Daud)
Rokok Memudaratkan Orang Lain
Asap rokok mendatangkan kemudaratan kepada orang lain dan Islam melarang sebarang perbuatan yang boleh
memudaratkan orang lain. Nabi bersabda: “Dilaknat seseorang yang mendatangkan kemudaratan kepada
seseorang mukmin dan menipunya.” (Riwayat Tirmizi)
Rokok Membawa Kepada Pembaziran.
Rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM 3 juta sehari atau RM 90 juta sebulan untuk membeli rokok dan ini adalah
satu pembaziran. Pembaziran ditegah oleh agama. Allah berfirman: “Janganlah kamu membazir kerana
sesungguhnya mereka yang membazir adalah saudara-saudara syaitan.” (Al-Isra ayat 27)
Merokok Menguntungkan Musuh
Merokok melemahkan badan sekali gus melemahkan umat Islam dari usaha-usaha dakwah dan jihad di jalan Allah. Di
samping itu pembelian rokok membantu untuk menjadikan musuh Islam kaya raya. Mereka boleh menggunakan wang
itu untuk menindas umat Islam. Allah telah berfirman: “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan di dalam perkara
dosa dan permusuhan.” (Al-Maidah ayat 2)
Rokok Mengandungi Dadah Berbahaya
Rokok mengandungi nikotin dan nikotin sebenarnya adalah sejenis dadah berbahaya yang setanding dengan dadah
heroin dan kokain. Segala yang memabukkan, termasuk dadah berbahaya, diharamkan oleh agama. Dalam sebuah
hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah., beliau berkata: “Rasulullah melarang dari mengambil setiap bahan
yang memabukkan (muskir) dan melemahkan badan (muftir).” (Ahmad dan Abu Daud)
Justeru, pada 23 Mac 1995, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37
telah memutuskan bahawa tabiat merokok itu adalah haram menurut pandangan Islam.
3 comments:
mohon untuk share...
memang di galak kan utk share supaya ramai org lebih tahu
Haramkan jer rokok tu...
Post a Comment