Kisah Bagaimana 25 Jenama Terkenal Antarabangsa Bermula

Jenama terkenal dunia seperti Coca-Cola, IBM, Miscrosoft, Google, McDonald, Oracle dan Nike diasaskan oleh orang biasa yang mempunyai semangat dan kelebihan luar biasa. Kedudukan dan nilai jenama-jenama tersebut ditentukan oleh satu organisasi antarabangsa yang unggul dikenali sebagai Interbrand. Cerita kejayaan syarikat-syarikat terkenal ini bukan sahaja menarik untuk dibaca malah mempunyai maklumat yang penting untuk kita pelajari. Bagaimana syarikat-syarikat terkenal ini berjaya mengekalkan kedudukan yang dicapai saban tahun melambangkan amalan cara kerja yang baik dan patut kita contohi. 

Coca-Cola
Produk yang telah memberikan dunia rasa yang paling terkenal telah dilahirkan di Atlanta, Georgia, pada 8hb Mei 1886. Siapakah pengasas syarikat jenama tersohor ini? Ramai tidak akan menyangka bahawa Dr. John Stith Pemberton, seorang ahli farmasi sebenarnya tidak dilahirkan dalam golongan yang kaya raya. Selepas pengalaman dan kecederaan beliau di medan perang sekitar tahun 1860-an, Dr. Pemberton bertekad mengaplikasi pengetahuannya dalam bidang farmasi dan melaburkan semua wangnya untuk penyelidikan dan mencipta sejenis minuman tonik. Pada waktu tersebut permintaan terhadap ubatan dan tonik sedang meningkat diseluruh Amerika Syarikat. Berbekalkan semangat yang kental, beliau memulakan penjualan minuman sirap bercampur air berkarbonat yang diberi nama Coca-Cola di kaunter sebuah farmasi. Campuran yang amat serasi ditambah pula dengan tema yang sesuai iaitu “Yang Lazat Dan Menyegarkan” menarik perhatian orang ramai untuk membelinya. Apatah lagi, segelas Coca-Cola pada waktu itu hanya dijual pada harga lima sen sahaja! Dr. Pemberton juga tidak menyedari bahawa minuman ciptaannya berpotensi untuk berjaya dan terkenal di seluruh dunia seperti hari ini. Hari ini bernilai AS70.5 bilion.

IBM
Akronim syarikat ini sangat mudah untuk diingati dan sekilas pandang rata-rata akan terus teringatkan sistem komputer di pejabat. Bagaimana pula kisah permulaan IBM yang telah disenaraikan sebagai jenama yang ke dua terkenal antarabangsa pada tahun 2010? Sejarah penubuhan IBM bermula lebih awal sebelum komputer dicipta. Sekitar 1890-an Herman Hollerith telah mencipta peranti elektrik untuk ringkasan maklumat yang kemudiannya diguna pakai untuk ringkasan data-data perakaunan. Pada hari ini contoh peranti elektrik yang masih diguna pakai ialah mesin punch card. Hollerith sebenarnya bekerja keras untuk mencipta peranti elektrik yang hendak diguna pakai untuk proses banci di Amerika Syarikat pada tahun 1890. Kejayaan yang dicatat semasa bancian itu menjadi titik tolak kejayaan peranti elektrik ciptaan Hollerith. Penggabungan tiga syarikat berlaku pada tahun 1911. Individu yang bertanggungjawab keatas kejayaan penggabungan dan seterusnya penubuhan IBM bernama Thomas J. Watson Sr.

Microsoft
Microsoft menduduki tempat ketiga untuk jenama terkenal antarabangsa 2010. Bill Gates dan sahabatnya Paul Allen menzahirkan Microsoft pada tahun 1975. Bill Gates hanya berumur 13 tahun sewaktu diberi akses kepada komputer. Walaupun pada awalnya Bill Gates dan Paul Allen diberhentikan setelah menggodam komputer syarikat, mereka dipanggil untuk berkhidmat kembali khusus untuk menyelesaikan masalah virus komputer. Mereka tidak dibayar dengan wang tetapi diberi akses kepada komputer tanpa had masa sebagai pampasan. Bill Gates melanjutkan pelajaran di universiti tersohor di Amerika Syarikat iaitu Havard University. Pada tahun 1974 Paul Allen berjaya memujuk Bill Gates untuk keluar daripada universiti dan memulakan perniagaan perisian komputer dengannya. Bill Gates dan Paul Allen terpaksa mengatasi banyak rintangan untuk memajukan perniagaan mereka. Akhirnya mereka memberi lesen sistem operasi MS DOS kepada IBM. Bertitik tolak dari waktu itu, kedua-dua jenama Microsoft dan IBM kekal bersaing secara positif dan menyandang kedudukan yang tinggi sebagai jenama ternama antarabangsa. Microsoft bernilai AS60.9 bilion pada hari ini!

Google
Stanford University menjadi saksi bagaimana kisah dua pelajar Sergey Brin dan Larry Page bertemu pada asalnya hanya untuk sesi suai kenal berlanjutan hingga penubuhan perniagaan yang mencecah nilai AS43.6 bilion. Kedua sahabat yang merupakan pelajar jurusan sains komputer berkolaborasi untuk mencipta sistem enjin pencarian yang mereka gelarkan BackRub. Seterusnya nama sistem tersebut ditukar kepada Google iaitu nama yang diadaptasi daripada Googol yang bermaksud nombor 1 diikuti 100 kali nombor 0 dibelakangnya. Pada awalnya Google beroperasi menggunakan kemudahan universiti. Selepas setahun beroperasi, Brin dan Page terus berusaha memajukan Google walaupun merasa tertekan dan mengganggu pelajaran dan pencapaian di universiti. Pada tahun 1998 mereka mendapat bayaran untuk bekerja memajukan Google di bahagian garaj kereta rumah seorang rakan mereka. Untuk mendapat dana, mereka membuat tawaran untuk menjual Google kepada syarikat yang lebih dikenali pada waktu itu. Akhirnya sekitar tahun 1999, Google mendapat tawaran dana tambahan sebanyak AS25 juta. 

GE (General Electric Company)
Pada tahun 1876, Thomas Edison membuka makmal di Menlo Park, New Jersey untuk mencipta mentol lampu. Banyak lagi produk elektrik yang dicipta beliau dibawah jenama Edison General Electric Company. Kini GE bernilai AS42.8 bilion.

McDonald
Pada tahun 1940, dua beradik Richard dan Maurice McDonald memulakan perniagaan McDonald’s Bar-B-Que yang merupakan kafe pandu lalu. Ketika itu kafe tersebut menyediakan terlalu banyak menu. Selepas lapan tahun beroperasi, mereka mengurangkan menu kepada hanya sembilan iaitu pelbagai jenis burger, minuman ringan, kopi, kentang goreng dan pai supaya mereka boleh memberi servis yang cepat kepada pelanggan. Dalam tahun 1954, mereka bertemu dengan Ray Kroc yang datang ke kafe untuk menjual mesin campuran. Setahun kemudian Kroc membeli keseluruhan McDonald kafe dan mengembangkan perniagaan secara agresif dan membuka 500 buah kafe McDonald dalam masa lapan tahun sahaja. Hari ini McDonald mempunyai 32,000 rangakaian restoran. Satu fakta yang agak menarik tentang Kroc dan Walt Disney (pengasas taman tema Disney) yang berkawan sekitar tahun 1920-an. Kroc ingin membuka restoran McDonald di dalam taman tema Disney tetapi Walt mengenakan syarat supaya harga kentang goreng dinaikkan sebanyak 5% untuk diberikan kepadanya sebagai balasan. Kroc mempunyai etika perniagaan yang amat konsisten dan tidak mahu menipu pelanggan setianya. Oleh kerana itu, sehingga hari ini restoran McDonald tidak dibuka di taman tema Disney.

Intel
Pengasas Intel ialah Gordon E. Moore dan Robert Noyce. Jenama ini sekarang dinilaikan sebanyak AS32.0 bilion. Pada tahun 1968, Moore dan Noyce meninggalkan syarikat kejuruteraan elektrikal untuk memulakan syarikat mengeluarkan cip memori dan pemprosesan mikro. Moore Noyce adalah nama yang pertama digunakan. Kemudiannya menukar nama tersebut kepada Integrated Electronics atau Intel. Walaupun mengetahui penggunaan silikon adalah mahal, mereka masih meneruskan penggunaan silikon untuk menghasilkan produk yang berlainan. IBM menggunakan cip Intel untuk komputer pada tahun 1981.

Nokia
Nokia bermula dengan perniagaan kertas yang juga merupakan alat untuk berkomunikasi. Fredrik Idestam seorang anak jati Finland telah membina kilang kayu pulpa di sepanjang tebing Sungai Tammerkoski dalam tahun 1865. Beliau ialah seorang jurutera dan telah mengaplikasi pengetahuan dan kepakarannya dalam bidang kejuruteraan untuk memproses kayu dan menghasilkan kertas dengan harga yang murah. Proses ini merupakan suatu revolusi kepada industri pembuatan kertas pada waktu itu. Fredrik memenangi pingat gangsa di Ekspo Dunia di Paris pada tahun 1867. Selepas satu abad proses penggabungan dan pengambil alihan beberapa syarikat, Nokia mula melibatkan perniagaannya dalam bidang komunikasi mudah alih sekitar awal tahun 1980-an. Kini Nokia bernilai kira-kira AS29.5 bilion. 

Disney
Pada tahun 1923, Walt Disney pada waktu berusia 23 tahun berhijrah ke California untuk menjual sebuah cerita kartun Alice in the Wonderland. Dalam masa beberapa bulan, dia berjaya mendapat pengedar yang bersetuju untuk mengeluarkan siri “Alice Comedies”. Setelah berjaya dengan siri tersebut, Walt terus berkarya dan mewujudkan banyak lagi karaktor kartun yang lain. Karaktor Mickey Mouse yang melonjak dan mendapat perhatian seluruh dunia kerana ia adalah siri kartun pertama yang bersuara. Kini Disney mempunyai taman tema di banyak negara seluruh dunia dan bernilai AS28.7 bilion.

Hewlett Packard
Bill Hewlett dan David Packard adalah pengasas Hewlett Packard. David memulakan kerjaya di General Electric Company (GE) manakala Bill meneruskan pengajian di universiti. Pada tahun 1937, David melawat Bill dan berjaya meyakinkan David untuk bercuti daripada syarikat GE untuk bekerja bersamanya menubuhkan HP. Dalam tahun 1939, produk HP pertama dihasilkan. Salah satu pelanggan pertama HP ialah Walt Disney yang membeli produk HP untuk membangunkan sistem bunyi yang canggih untuk tayangan popularnya Fantasia! Kini HP bernilai AS26.9 bilion.

Toyota
Kiichiro Toyoda adalah pengasas Toyota. Dalam tahun 1924, Sakichi Toyoda mencipta satu model mesin Toyoda G Automatik untuk menghasilkan tekstail. Kerajaan Jepun telah memberi semangat kepada Sakichi untuk membangunkan kereta beberapa tahun kemudian. Kiichiro merupakan anak lelaki Sakichi telah menjelajah Eropah dan Amerika Syarikat untuk menyelidik selok belok pembuatan kereta. Setelah pulang ke Jepun, Toyota menghasilkan kereta pertama mereka iaitu Model A1 untuk kereta penumpang pada tahun1935. Kini nilai Toyota adalah AS26.2 bilion.

Mercedes Benz
Dilahirkan di Jerman, Karl Benz dan Gottlieb Daimler merupakan pengasas Mercedes Benz. Ia bermula pada tahun 1886 apabila Karl mencipta automobil pertama yang merupakan sebuah basikal beroda tiga yang bermotor. Beberapa bulan kemudian, Daimler yang berada di kawasan yang berlainan menghasilkan jentera empat roda yang bermotorkan enjin Daimler. Mereka tidak menyedari tentang hasil masing-masing. Hanya 40 tahun kemudian Mercedes-Daimler dilahirkan apabila mereka bergabung. Kini nilai Mercedes-Benz mencecah AS25.2 bilion.

Gillette
King Camp Gillette memerhatikan penutup botol dibuang begitu sahaja selepas botol dibuka. Kemudian syarikat botol tersebut perlu membeli penutup yang lain. Bagi King, suatu peluang perniagaan yang baik untuk produk yang sebegini. King juga menyedari bahawa setiap lelaki memerlukan pisau cukur hampir setiap hari. Bermula daripada saat itu, King telah berusaha untuk mencipta pisau cukur yang boleh ditukar ganti manakala pemegangnya hanya perlu dibeli sekali sahaja. Sejak tahun 1901, penjualan pisau cukur Gillette meningkat hingga jenama tersebut kini bernilai AS23.3 bilion.

CISCO
Leonard Bosack dan isterinya Sandra Lerner mencipta teknologi untuk berkomukasi pada asalnya untuk tujuan kemudahan berkomunikasi antara satu sama lain. Sekitar tahun 1984, mereka tekad dan membuat pelaburan untuk memulakan syarikat yang menjual teknologi “internetworking”. Cisco adalah singkatan kepada San Francisco. Kini nilai Cisco mencecah AS23.2 bilion.

BMW
Di Jerman pada tahun 1916, jenama BMW yang kini bernilai AS22.3 bilion dizahirkan oleh Franz Josef Popp. Ianya adalah hasil daripada beberapa penggabungan syarikat yang pada awalnya merupakan pengeluar enjin kapal terbang. Logo BMW adalah lambang kipas kapal terbang. Selepas perang dunia pertama, BMW terpaksa menghentikan pengeluaran enjin kapal terbang. Mereka mengalihkan produksi kepada motosikal pada tahun 1923 dan kereta pada tahun 1928.

Louis Vuitton
Pada usia 14 tahun, Louis Vuitton membuat keputusan berhijrah ke Paris dari kampung halamannya di Jura, Perancis. Beliau hanya berjalan kaki ke Paris dan membuat kerja sambilan di sepanjang perjalanannya. Napolean III pernah melantik Louis sebagai pembuat kotak menyimpan barang (“trunk”). Reputasi beliau semakin berkembang dan pada tahun 1854, Louis membuka kedai beg pertamanya di Paris. Kini Louis Vuitton bernilai AS21.9 bilion.

Apple
Steve Jobs, Steve Wozniak dan Ronald Wayne merupakan pengasas Apple. Sekarang Apple bernilai AS21.1 bilion. Mereka bertiga bermula membina komputer daripada pelbagai bahagian yang berasingan dengan hasil tangan sendiri. Mereka bekerja siang dan malam untuk menyiapkan setiap pesanan. Selepas pesanan yang ke 50, Ronald Wayne membuat pelaburan di dalam Apple.

Marlboro
Pada tahun 1902, Phillip Morris berhijrah ke New York untuk menjual rokok yang dihasilkannya. Untuk kelainan, Phillip menjual rokok untuk wanita dengan cogan kata yang menarik. Penapis pada hujung batang rokok berwarna merah bertujuan untuk menyembunyikan warna gincu wanita apabila merokok. Kini Marlboro bernilai AS20.0 bilion.

Samsung
Samsung mula beroperasi sebagai kedai runcit yang dibuka oleh Lee Byung-chul pada tahun 1938.Perniagaannya bertambah maju dan ibu pejabat Samsung dipindahkan ke Seoul pada tahun 1947. Tetapi Lee terpaksa meninggalkan perniagaannya apabila perang Korea bermula. Lee tidak pernah berputus asa dan memulakan kilang penapisan gula serta kilang bulu pula. Nasib Lee agak baik apabila Presiden Korea telah melaksanakan polisi untuk melindungi perniagaan seperti Samsung pada tahun 1960-an. Syarikat asing tidak dibenarkan menjual barang-barang elektronik di Korea. Langkah ini telah memberi Samsung kelebihan dalam perniagaan barang-barang elektronik kerana tidak ada pesaing selama 18 tahun semasa pemerintahan Presiden Park Chung-hee. 

Honda
Sejak usia muda Soichiro Honda sangat berminat tentang dunia automobil. Beliau pernah bekerja sebagai mekanik kereta dan membuat reka bentuk baru untuk omboh kereta. Reka bentuk pertamanya ditolak oleh syarikat Toyota. Sekitar tahun 1930-an, Soichiro terpaksa menjual barang kemas isterinya untuk menanggung pengajiannya. Beliau terus berusaha dan akhirnya Toyota menerima reka bentuk yang diciptanya. Kilang omboh dibuka tetapi tidak berapa lama selepas beroperasi, gempa bumi memusnahkan usaha Soichiro. Akibat perang dunia ke II, bekalan petrol bekurangan dan ini memberi ide kepada Soichiro untuk menggunakan dua omboh pada motosikalnya pula. Kemudiannya Soichiro mengumpul dana daripada pengusaha kedai basikal seluruh Jepun dan membina motosikal Honda Cub. Bermula tahun 1964 Honda merupakan pengeluar terbesar motosikal dan kini ianya bernilai AS18.5 bilion.

Hennes & Mauritz (H&M)
H&M diasaskan oleh Erling Perrson pada tahun 1947 di Sweden. Ide untuk menghasilkan H&M semasa perjalanan beliau ke Amerika Syarikat selepas perang dunia ke II. Di Sweden beliau merupakan pelopor untuk hasil pakaian wanita. 21 tahun kemudian Erling membeli Mauritz Widforss yang menghasilkan pakaian untuk lelaki. H&M adalah hasil selepas penggabungan tersebut. Kini H&M bernilai AS16.1 bilion. 

Oracle
Larry Ellison membaca laporan mengenai pengkalan data pada tahun 1970 yang ditulis oleh Edward F. Codd. Ia telah menjentik minda beliau bahawa ada satu peluang besar menanti dalam sistem pengurusan pengakalan data. Bertitik tolak daripada saat itu, Ellison berusaha untuk membangunkan Software Development Laboratories (“SDL”) dengan Bob MMiner dan Ed Oates. Selepas menukar nama syarikat selama tiga kali, Oracle adalah pembekal terbesar perisian untuk dunia perniagaan yang kini bernilai AS14.9 bilion. 

Pepsi
Pada tahun 1898, Caleb Bradham seorang ahli farmasi dan mempunyai kedai ubat mencipta resipi baru untuk minuman yang dinamakan “Brad’s Drink”. Campuran ekstrak biji kola, vanila dan minyak yang jarang diperolehi dikatakan boleh menyegarkan badan, membantu penghadaman serta meningkatkan tenaga si peminum. Pada tahun 1903, Bradham menukar nama minuman kepada Pepsi -Cola dan memulakan kerja pembotolan di gudang sewaan. Tahun 1909 merupakan satu tahun keramat yang melonjak naik nama Pepsi apabila perintis pelumba automobil mengesahkan Pepsi-Cola adalah minuman yang menyegarkan dan sesuatu yang harus di ambil sebelum beliau memulakan perlumbaan. Namun begitu Bradham mengalami kegagalan dalam perniagaannya sekitar 1920-an hingga 1930-an sehingga beliau diistihar bankrup. Bradham tetap cekal dan berjaya menaikkan kembali nama Pepsi setelah memperkenalkan saiz botol minuman yang baru. Sehingga kini Pepsi diberi nilai AS14.1 bilion.

American Express (AMEX)
Henry Wells, William Fargo dan John Warren Butterfield adalah pengasas kad AMEX. Masing-masing mempunyai latar belakang yang lebih kurang sama iaitu dalam bidang pengangkutan wang pada awalnya dan kemudiannya mengaplikasi teknologi untuk menghasilkan AMEX. Nilai AMEX kini mencecah AS13.9 bilion.

Nike
Selepas tamat pengajian di universiti, Philip Knight mengambil keputusan untuk menjelajah sekitar negara Jepun. Di Jepun Knight bertemu pembuat kasut Onitsuka Tiger. Sebagai ahli olahraga universiti, Knight bersetuju untuk membeli kasut-kasut Tiger untuk dijual di Amerika Syarikat. Untuk memenuhi syarat syarikat Jepun itu, Knight mendaftarkan syarikat yang diberi nama Blue Ribbon Sports (“BRS”). Pada akhir tahun 1963 pesanan kasut sudah mencecah 200 pasang kasut. Dengan hati yang cekal Knight memulakan perniagaannya secara jualan daripada kereta sahaja. Stok pula disimpan di bilik bawah tanah rumah bapanya. Perniagaan terus berkembang apabila Knight bersama rakan kongsi Bill Bowerman bekerjasama bermula tahun 1964. Mereka mula menyewa premis perniagaan pada tahun 1966 yang membolehkan pekerja menjual kasut di kedai pula. Hubungan perniagaan antara BRS dan Tiger berakhir sekitar tahun 1971 dan bertititik tolak dari waktu itu Knight dan Bowerman memulakan jenama kasut mereka sendiri iaitu Nike sempena dewi kemenangan Greek yang kini bernilai AS13.7 bilion. 

http://www.usahawan.com/sejarah/kisah-bagaimana-25-jenama-terkenal-antarabangsa-bermula.html

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Categories

Gambar Lawak (835) Gambar Menarik (365) agama (269) Kisah Kelakar (245) ceritera hidup sang kumbang jingga (242) Berita (223) Info Berguna (74) Fakta Menarik (71) Dialog Kelakar (59) video kelakar (54) Politik (47) Ragam Manusia (35) Artis (29) Bola (23) Kisah Seram (23) Misteri (23) Kesihatan (22) Blogger (17) Science and Technology (17) Tips (17) perkahwinan (15) Flora (14) Kereta (14) Kewangan (14) video menarik (13) Fauna (11) Sejarah (11) korea (10) Wayang (9) Blogger Tutorial (7) Filem Review (7) Blogger Tips (6) Cerpen (6) Dialog Seram (6) Drama (6) Dunia (6) My Original Puisi (6) Pelik (6) bahasa arab (6) kreatif (6) Download (5) Macam-macam (5) Petua (5) resepi (5) sukan (5) Review Blogs (4) DIY (3) Food Review (3) IQ Test (3) Inspirasi (3) Malaysia (3) Seram (3) Wordless Wednesday (3) belajar bahasa korea (3) drama melayu (3) lawak raya (3) Badminton (2) Drama review (2) E-kad (2) Hiasan Rumah (2) Lawak Kampus (2) Logo (2) bahasa jepun (2) cinta (2) kad raya (2) kisah sedih (2) novel (2) product review (2) AES (1) Bahasa Ganu (1) Contest Dan Segmen (1) Fashion (1) Gitar Chord (1) Hadif (1) Kartun Lawak (1) Lirik Lagu (1) Nuffnang (1) Pelancongan (1) Pengalaman (1) Pesuruh jaya sumpah (1) Quiz (1) Review (1) SMS (1) Taman (1) UAI (1) Youtube (1) adam dan hawa (1) bahasa Thailand (1) bahasa penang hokkien (1) bayi (1) gadget (1) giveway (1) herba traditional (1) jdrama (1) jepun (1) kartun raya (1) keyword menarik (1) koleksi sms raya (1) lelaki (1) math (1) pacat (1) raya (1) segmen (1) sms raya (1) teknologi (1)