ADA SPM PUN BOLEH JADI JUTAWAN

SIAPA sangka, anak kampung tidak memiliki pendidikan tinggi ini akan bergelar jutawan dan memiliki rangkaian perniagaan yang bukan calang-calang.


Buktinya, dia berjaya membina empayar perniagaan yang mungkin tidak dapat dicapai individu berijazah mahupun berkelulusan tinggi lain yang lebih gemar kerja makan gaji. Tidak pernah lupa asal usulnya, bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, kejayaan dikecapi tidak datang bergolek, sebaliknya ia hasil kerja keras dan sikap tidak pernah putus asa yang tertanam dalam dirinya.

Menceritakan kembali zaman kesusahannya waktu itu, Jamal berkata, keluarganya bukan daripada kalangan orang senang. Bapanya hanya bekerja kampung manakala ibunya penjual kuih.

“Seawal usia 10 tahun, saya menolong abang menjual hasil tangkapan laut di Pasar Sekinchan menaiki basikal sejauh lima kilometer dari rumah.

“Selain itu saya melakukan pelbagai kerja kampung seperti kopek kelapa, kait kelapa dan menolong rakan menjual burger bagi mencari duit poket,” katanya.
Sebaik tamat sekolah di Sekolah Menengah Datuk Mustafa Pasir Panjang, Sabak Bernam, dia berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan.

Berbekalkan wang hasil kerja kampungnya sebanyak RM80, dia berazam mengubah nasib dirinya dan keluarga, apatah lagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang memberangsangkan.
Meskipun disuruh ibunya mengambil semula peperiksaan itu, dia enggan kerana minatnya lebih terdorong ke arah kemahiran, terutama perniagaan.

“Pada mulanya ibu melarang saya ke Kuala Lumur sebab dia mahu saya mengambil SPM kali kedua, namun saya ‘terpaksa’ tipu mengatakan saya hanya mahu berjumpa kawan di sana.
“Tiba di Kuala Lumpur, saya menumpang di rumah seorang rakan dan bekerja sebagai budak penghantar surat dengan gaji RM7 sehari.

“Waktu itu baru saya tahu bagaimana peritnya bekerja di kota besar dengan gaji yang tak seberapa hinggakan dalam keadaan terdesak, saya pernah makan baki nasi bungkus ditinggal rakan yang dihurung semut dalam keadaan gelap untuk alas perut kerana tidak berselera menelannya dalam keadaan terang,” katanya.

Tambah Jamal, hanya tuhan tahu perasaannya waktu itu sebab mahu buang tidak sampai hati, manakala mahu beli nasi baru dia tiada wang.

Selepas dua bulan menjadi budak penghantar surat, dia berhenti kerja akibat tidak tahan leteran majikan sebelum bekerja di kilang Ramly burger di Cheras dengan pendapatan RM10 sehari.

Bosan dengan kerja makan gaji, pemilik syarikat pengimport dan penjual kenderaan import baru dan terpakai IBM Automobiles Sdn Bhd ini tekad memulakan hidup baru dengan membuka perniagaan menjual burger di sekitar Bandar Baru Sentul.

Waktu itu dia menggunakan kayu terpakai mendirikan gerai mengikut kreativitinya sendiri, termasuk mengecat sebagai langkah permulaan.

Tidak menyangka sambutan diterima di luar jangkauan, bermula hanya sebuah gerai ia berkembang menjadi 11 gerai menjual burger sekitar Lembah Klang dalam tempoh dua tahun beroperasi.
Dalam tempoh itu juga Jamal mampu membeli tujuh van digunakan sebagai kemudahan berniaga di 13 lokasi pasar malam yang beroperasi serentak.

“Selepas perniagaan burger maju, saya mengembangkannya dengan membuka syarikat menyediakan perkhidmatan khemah dan membekalkan alat tulis kepada Kementerian Pertahanan dan jabatan kerajaan selain menceburi bidang pembinaan.

“Pada 1995, minat saya lebih terarah ke bidang automotif pula dan berpeluang menjadi pengarah di sebuah syarikat permotoran,” katanya.

Prestasi baik yang ditunjukkan membolehkan Jamal ditawarkan jawatan eksekutif jualan kepada beberapa syarikat pengimport kereta.

Jawatan itu juga membolehkan dia menjelajah ke Itali, Jepun dan negara Eropah lain bagi mengetahui lebih lanjut mengenai dunia automotif.

Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Nasib tidak menyebelahi Jamal apabila negara dilanda kegawatan ekonomi pada 1997.

Jamal terpaksa menggadaikan semua aset sedia ada bagi melangsaikan hutang tertunggak. Tidak mampu menghadapi tekanan, dia melarikan diri ke Jakarta selama setahun.
Berbekalkan RM100,000 di sana, dia memulakan hidup baru dengan menjual kain pasang yang dieksport ke Malaysia dan perniagaannya maju.

“Mungkin ini ujian Allah supaya berkongsi rezeki dengan mereka yang berhak. Namun saya reda dan ia benar-benar memberi pengajaran supaya tidak lalai dengan nikmat diberi.

“Pun begitu saya bersyukur walaupun aset tergadai, segala hutang berjaya dilangsaikan dan pulang saja ke Malaysia, saya tekad membuka semula perniagaan secara perlahan sebelum berjaya membuka IBM Automobiles Sdn Bhd,” katanya.

Kini Jamal mampu tersenyum puas apabila jualan keretanya menjangkau 30 kereta sebulan, malah semua anak syarikatnya juga dalam keadaan stabil.

PROFIL
NAMA: Datuk Jamal Md Yunos
UMUR: 33 tahun
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
JAWATAN: Ketua Pegawai Eksekutif IBM Automobiles Sdn Bhd
ASAL: Sungai Leman, Sekinchan
ISTERI: Nurhanizatul Shida Mat Hassan
ANAK: Mohd Amin Danial (10)

MESKIPUN memiliki rangkaian perniagaan besar dan bertaraf jutawan, ia bukan satu tiket untuk Jamal mendabik dada, sebaliknya rezeki diperoleh dikongsi bersama mereka yang berhak.
“Saya akan mengadakan seminar selama seminggu yang diadakan di IBM di Kuala Lumpur, malah segala perbelanjaan ditanggung sepenuhnya.

“Daripada 50, 10 yang terbaik dipilih mengikuti kursus automotif di Itali dan Jepun sebagai persediaan apabila pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai pekerja serba boleh.
“Di sana, mereka akan diajar cara penyelenggaraan kenderaan yang pelbagai bentuk dengan betul dan lebih terperinci,” katanya.

Dalam pada itu, IBM Automobiles terus mengorak langkah apabila bakal membuka dua cawangan sekitar Lembah Klang dan di negeri yang belum diputuskan.

Menariknya, ia bukan sekadar pusat jualan kereta, malah turut disediakan bengkel dan kemudahan alat tukar ganti di tempat sama.

Paling membanggakan, IBM Automobiles turut memiliki rangkaian di United Kingdom (UK). Bukan mudah bagi anak Melayu menembusi pasaran luar negara jika tidak memiliki kedudukan ekonomi kukuh.

“Di sana ada tiga kakitangan memantau segala urusan mengenai kereta yang bakal dibawa ke Malaysia. Saya bersyukur sebab selama ini tidak pernah bermimpi memiliki perniagaan seperti sekarang,” katanya.
Sewaktu ditanya mengenai kehidupan hariannya yang banyak dihabiskan di pejabat berbanding di rumah, Jamal menjelaskan ia rutin biasa.

“Memandangkan isteri turut menjalankan perniagaan, jadi tiada masalah sebab kami faham kesibukan masing-masing. Selalunya jika ada masa lapang kami mengambil cuti dan bersantai bersama anak.
“Setakat ini dia (isteri) tidak pernah merungut, malah kami sentiasa memberi kata-kata sokongan antara satu sama lain untuk bergelar usahawan berjaya,” katanya sambil tersenyum.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Categories

Gambar Lawak (835) Gambar Menarik (365) agama (269) Kisah Kelakar (245) ceritera hidup sang kumbang jingga (242) Berita (223) Info Berguna (74) Fakta Menarik (71) Dialog Kelakar (59) video kelakar (54) Politik (47) Ragam Manusia (35) Artis (29) Bola (23) Kisah Seram (23) Misteri (23) Kesihatan (22) Blogger (17) Science and Technology (17) Tips (17) perkahwinan (15) Flora (14) Kereta (14) Kewangan (14) video menarik (13) Fauna (11) Sejarah (11) korea (10) Wayang (9) Blogger Tutorial (7) Filem Review (7) Blogger Tips (6) Cerpen (6) Dialog Seram (6) Drama (6) Dunia (6) My Original Puisi (6) Pelik (6) bahasa arab (6) kreatif (6) Download (5) Macam-macam (5) Petua (5) resepi (5) sukan (5) Review Blogs (4) DIY (3) Food Review (3) IQ Test (3) Inspirasi (3) Malaysia (3) Seram (3) Wordless Wednesday (3) belajar bahasa korea (3) drama melayu (3) lawak raya (3) Badminton (2) Drama review (2) E-kad (2) Hiasan Rumah (2) Lawak Kampus (2) Logo (2) bahasa jepun (2) cinta (2) kad raya (2) kisah sedih (2) novel (2) product review (2) AES (1) Bahasa Ganu (1) Contest Dan Segmen (1) Fashion (1) Gitar Chord (1) Hadif (1) Kartun Lawak (1) Lirik Lagu (1) Nuffnang (1) Pelancongan (1) Pengalaman (1) Pesuruh jaya sumpah (1) Quiz (1) Review (1) SMS (1) Taman (1) UAI (1) Youtube (1) adam dan hawa (1) bahasa Thailand (1) bahasa penang hokkien (1) bayi (1) gadget (1) giveway (1) herba traditional (1) jdrama (1) jepun (1) kartun raya (1) keyword menarik (1) koleksi sms raya (1) lelaki (1) math (1) pacat (1) raya (1) segmen (1) sms raya (1) teknologi (1)