Setibanya di pantai, Nabi Sulaiman terus mengintai-ngintai untuk mencari sesuatu  seperti yang dikatakan oleh Allah. Setelah lama mencari ,baginda belum lagi  menjumpai apa-apa. Kata salah seorang daripada mereka "Mungkin tersalah tempat".  Tetapi baginda menjawab "Tidak, di sinilah tempatnya". Nabi Sulaiman mengarahkan  Jin Ifrit supaya menyelam ke dalam laut untuk meninjau apa-apa yang pelik atau  ajaib. Jin Ifrit menyelam agak lama juga barulah ia kembali kepada Nabi Sulaiman dan  memaklumkan bahawa dia tidak menjumpai apa-apa benda yang ajaib. Tanya Nabi  Sulaiman "Apakah kamu menyelam sehingga dasar laut" Jawab Jin Ifrit "Tidak". Nabi  Sulaiman pun mengarahkan Jin Ifrit yang kedua supaya menyelam sehingga ke dasar  laut. Setelah puas menyelam dan mencari benda-benda yang di katakan oleh Nabi  Sulaiman, Jin Ifrit yang kedua juga tidak menjumpai apa-apa yang ajaib dan ia  melaporkan kepada Nabi Sulaiman. 
Perdana Menterinya yang bernama Asif bin Barkhiya telah berbisik ke telinga Nabi  Sulaiman dan memohon kebenaran untuk menolongnya. Setelah mendapat izin Nabi  Sulaiman, dia membaca sesuatu dan terus menyelam ke dalam laut. Tidak lama  kemudian Asif menjumpai sebuah kubah yang sangat cantik. Kubah tersebut  mempunyai empat penjuru, setiap penjuru mempunyai pintu. Pintu pertama diperbuat  daripada mutiara, pintu kedua diperbuat daripada zamrud berwarna merah, pintu  ketiga diperbuat daripada jauhar dan pintu keempat diperbuat daripada zabarjad.  Pintu-pintu tersebut terbuka luas, tetapi yang peliknya air tidak masuk ke dalam  kubah tersebut walaupun pintunya terbuka luas. 
Dengan kuasa yang diberikan oleh Allah, Asif dapat membawa kubah tersebut naik ke  darat dan diletakkan di hadapan Nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman melihat kubah tersebut  dengan penuh takjub di atas kebesaran Allah. Baginda berangkat untuk melihat kubah  tersebut, setelah menjenguk ke dalam di dapati ada seorang pemuda berada di  dalamnya. Pemuda tersebut masih belum sedar walaupun kubahnya telah diangkat ke  darat kerana asyik bermunajat kepada Allah. Nabi Sulaiman memberi salam kepada  pemuda tersebut. Pemuda tersebut menyambut salam dengan perasaan terkejutnya  apabila melihat orang ramai sedang berada di situ. Nabi Sulaiman memperkenalkan  dirinya kepada pemuda itu bahawa beliau adalah Nabi Allah Sulaiman. Pemuda itu  bertanya "Dari manakan mereka ini dan bagaimana mereka datang?". Pemuda itu  merasa hairan dan setelah menjenguk keluar dia mendapati bahawa kubahnya telah  berada di darat. Nabi Sulaiman memberitahu pemuda itu bahawa mereka datang  kerana diperintahkan oleh Allah untuk melihat keajaiban yang dikurniakan Allah  kepadanya. 
Setelah mendapat izin dari pemuda itu Nabi Sulaiman meninjau ke dalamnya untuk  melihat benda yang ajaib yang dihiasi di dalamnya. Keindahan yang terdapat di dalam  kubah itu sungguh menakjubkan. Nabi Sulaiman bertanya kepada pemuda tersebut  bagaimana dia boleh berada di dalam kubah ini yang terletak di dasar laut. Pemuda  tersebut menceritakan bahawa dia telah berkhidmat kepada kedua ibu bapanya  selama 70 tahun. Bapanya seorang yang lumpuh manakala ibunya pula seorang yang  buta. Suatu hari ketika ibunya hendak meninggal dunia, ibunya memanggilnya dan  memaklumkan bahawa ibunya telah rela di atas khidmat yang diberikan olehnya. Ibunya berdoa kepada Allah supaya anaknya dipanjangkan umur dan sentiasa taat  kepada Allah. Setelah ibunya meninggal dunia, tidak lama kemudian bapanya pula  meninggal dunia. Sebelum bapanya meninggal dunia, bapanya juga telah  memanggilnya dan memaklumkan bahawa dia juga telah rela di atas khidmat yang  diberikan olehnya. Bapanya telah berdoa sebelum meninggal dunia supaya anaknya  di letakkan di suatu tempat yang tidak dapat diganggu oleh syaitan. 
Doa kedua dua orang tuanya telah dimakbulkan oleh Allah. Pada suatu hari ketika  pemuda tersebut bersiar-siar di tepi pantai ia terlihat sebuah kubah yang sedang  terapung-apung di tepi pantai. Ketika pemuda tadi menghampiri kubah tersebut . 
Ada suara menyeru supaya pemuda itu masuk ke dalam kubah tersebut. Sebaik sahaja  ia masuk kubah dan meninjau di dalamnya tiba-tiba ia bergerak dengan pantas dan  tenggelam ke dasar laut. Tidak lama kemudian muncul satu lembaga seraya  memperkenalkan bahawa dia adalah malaikat yang di utuskan Allah. Malaikat itu  memaklumkan bahawa kubah itu adalah kurniaan Allah kerana khidmatnya kepada  orang tuannya dan beliau boleh tinggal di dalamnya selama mana dia suka, segala  makan dan minum akan dihidangkan pada bila-bila masa ia memerlukannya. Malaikat  itu memaklumkan bahawa dia diperintahkan Allah untuk membawa kubah tersebut ke  dasar laut. Semenjak dari itu pemuda tersebut terus bermunajat kepada Allah  sehingga hari ini. 
Nabi Sulaiman bertanya kepada pemuda itu "Berapa lamakah kamu berada di dalam  kubah ini" Pemuda itu menjawab "Saya tidak menghitungnya tetapi ia mula  memasukinya semasa pemerintahan Nabi Allah Ibrahim a.s lagi". Nabi Sulaiman  menghitung ". Ini bermakna kamu telah berada di dalam kubah ini selama dua ribu  empat ratus tahun". Nabi Sulaiman berkata "Rupa mu tidak berubah malah sentiasa  muda walaupun sudah dua ribu empat ratus tahun lamanya". Nabi Sulaiman  bertanya pemuda itu samada dia mahu pulang bersamanya". Jawab pemuda tadi "Nikmat apa lagi yang harus aku pinta selain daripada nikmat yang dikurniakan oleh  Allah kepada ku ini". Nabi Sulaiman bertanya"Adakah kamu ingin pulang ke tempat  asal mu" Jawab pemuda itu "Ya, silalah hantar aku ke tempat asalku". Nasi Sulaiman  pun memerintahkan Perdana Menterinya membawa kubah tersebut ke tempat asalnya. 
Setelah kubah tersebut diletakkan ke tempat asal, Nabi Sulaiman berkata kepada  kaumnya "Kamu semua telah melihat keajaiban yang dikurniakan oleh Allah. Lihatlah  betapa besar balasan yang Allah berikan kepada orang yang taat kepada orang tuanya  dan betapa seksanya orang yang menderhaka kepada kedua ibu bapanya". Nabi  Sulaiman pun berangkat pulang ke tempatnya dan bersyukur kepada Allah Taala kerana  telah memberi kesempatan kepadanya untuk menyaksikan perkara yang ajaib. 
 
 

No comments:
Post a Comment