Kuala Lumpur: “Adik kumpul duit syiling sejak tadika sebab nak bayar yuran sekolah. Duit tak laku, yang satu sen pun adik pungut masuk tabung sebab adik nak kaya, boleh belajar kat Mesir jadi doktor,” kata Nur Khatijah Abdullah.
Dia yang lebih mesra disapa Tijah, 7, berkata, tiada siapa mendidiknya mengenai amalan menabung sebaliknya kesedaran itu timbul selepas melihat kepayahan hidup nenek dan datuknya membesarkannya sejak kematian ibu akibat penyakit tibi.
“Mak meninggal dunia ketika Tijah umur dua tahun, ayah pula tak ada. Nenek kerja tukang cuci, tok wan (datuk) tak kerja sebab sakit jadi Tijah kesian, masa tadika Tijah kumpulah duit sendiri untuk masuk tahun satu.
“Tijah cakap kat nenek Tijah nak belajar sampai Mesir nanti boleh jadi doktor, boleh ubatkan sakit tok wan,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya di Taman Dagang di sini semalam.
Kisah murid Sekolah al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Integrasi Ar Rahmaniah, Taman Dagang, Ampang itu mula mendapat perhatian media apabila gambarnya membawa duit syiling berjumlah RM64 untuk membayar yuran sekolah berjumlah RM130 tersebar di Internet.
Prihatin dengan nasib dialami, guru sekolah berkenaan kemudian mengutip wang sumbangan peribadi sesama mereka bagi menampung baki jumlah yuran terbabit.
Menceritakan semula peristiwa berkenaan, nenek kanak-kanak itu, Shamsiah Yusof, 55, berkata Tijah pergi ke sekolah berkenaan membawa bersama duit syilingnya itu untuk membayar yuran sambil ditemani suaminya, Mohd Rodzi Ariffin, 61.
“Setibanya di sekolah, suami mengeluarkan syiling itu dari uncang kain yang dibawa sebelum beberapa guru membantu menyusunnya di atas meja untuk mengira jumlahnya bagi membayar yuran paling rendah berjumlah RM130.
“Suami pula tidak sangka pada masa sama seorang guru mengambil gambar tersebut dan berkongsi kisah itu melalui Whatsapp dengan rakan-rakannya yang lain sehinggalah semalam (kelmarin) baru saya diberitahu kisah Tijah sudah tersebar luas di Internet,” katanya.
Shamsiah yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah kilang berhampiran dengan pendapatan bulanan RM900 berkata dia memang tiada niat meraih simpati.
“Selagi mampu bekerja saya akan kerja untuk menampung kehidupan kami tiga beranak dan sejak kisah Tijah tersiar, banyak sumbangan diterima daripada orang ramai dan saya berjanji akan memegang amanah itu untuk kos pendidikan Tijah sehingga dia berjaya,” katanya menahan sebak.
Boleh rujuk entry sebelum ni
1 comment:
sedih hati baca kisah adik ni kan....nak2 plak merka dari keluarga susah dan adik ni ada semangat nak belajar...
Post a Comment