ARZIANA MOHMAD AZAMAN
14 Mei 2012
Seorang lelaki
menggemparkan orang ramai di Jeram, Selangor semalam apabila bertindak
nekad terjun dari pokok kelapa. Dia mati di tempat kejadian.
KUALA SELANGOR - Jika kawasan Ijok kecoh dengan demonstrasi penduduk
yang tidak mahu kuil dan pondok komuniti dirobohkan pemaju, lain pula
ceritanya di Jalan Budi, Sungai Buloh-Jeram di sini apabila ketenangan
penduduk diganggu pekikan seorang lelaki yang mengugut mahu terjun dari
pokok kelapa, semalam.
Lelaki terbabit terjun dari pokok kelapa dengan ketinggian enam meter jam 10.45 pagi semalam.
Ketua Kampungnya, Hashim Mansor, 63, berkata, selepas penduduk kampung,
imam masjid dan anggota polis gagal memujuk, lelaki berasal dari Sabah
itu nekad terjun selepas dipercayai berada di atas pokok lebih lima jam.
Ketika kejadian, Hashim sekeluarga dikejutkan dengan jeritan meminta
tolong jam 7 pagi semalam sebelum keluar melihat lelaki tidak dikenali
berada di atas pokok kelapa di belakang rumahnya.
“Jeritan lelaki itu menimbulkan tanda tanya penduduk dan kawasan
belakang rumah saya menjadi kecoh selepas dipenuhi orang ramai. Ramai
datang melihat kerana tidak percaya apa berlaku.
“Saya tidak faham tindakan lelaki itu yang meminta pelbagai perkara
tidak munasabah termasuk mahu anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis
Kontinjen (IPK) Bukit Aman datang.
“Anggota polis cuba memujuk lelaki itu supaya turun sendiri dan
berbincang mengenai masalahnya, namun sia-sia. Anggota bomba yang ada
turut mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya lelaki itu terjun secara
tiba-tiba.
“Namun, keadaan menjadi kecoh apabila lelaki terbabit terjun secara
tiba-tiba. Kecederaan dialami tidak diketahui dan dikejarkan ke hospital
berhampiran,” katanya.
Menurutnya, lelaki berkenaan dipercayai mempunyai masalah peribadi sehingga bertindak sedemikian rupa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Muhd
Taib Ahmad berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan terbabit dan
lelaki itu gagal diselamatkan selepas disahkan meninggal dunia di
Hospital Tanjong Karang.
“Meskipun anggota polis cuba memujuk hampir dua jam sementara menunggu
alternatif lain menurunkan lelaki terbabit berikutan forklift bomba
tidak dapat masuk ke kawasan kebun.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/lelaki-maut-terjun-pokok-kelapa-1.47670