SHAH ALAM – Memotong elaun menteri dan mengurangkan penganjuran majlis
keramaian berbajet besar antara langkah yang boleh diambil kerajaan
untuk mengurangkan perbelanjaannya. Pengerusi Pertubuhan Muttaqa
Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman
berkata, cara tersebut pernah digunakan khalifah pemerintahan Islam
suatu ketika dulu bagi mengawal perbelanjaan negara.
“Langkah pengurangan subsidi untuk berjimat hanya berkesan dalam jangka
masa pendek. Sebaliknya, kerajaan perlu memikirkan cara yang lebih
komprehensif.
“Kerajaan boleh mencontohi khalifah terdahulu yang memotong kemudahan
orang besar dan mengurangkan majlis keramaian yang tidak penting dan
melibatkan belanja yang banyak. Jika dilaksanakan dengan bersungguh,
kerajaan mampu untuk berjimat dan mempunyai lebihan peruntukan kewangan
untuk negara,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Katanya lagi, pendekatan tersebut mungkin dilihat tidak signifikan dari
sudut ekonomi, tetapi dapat memberi contoh di mata masyarakat.
“Jumlah yang berjaya dijimatkan mungkin tidak besar. Tetapi,
sekurang-kurangnya beban kenaikan tidak hanya dirasai oleh rakyat, malah
pemimpin dan orang berpendapatan tinggi.
“Misalnya, elaun petrol untuk menteri perlu dikurangkan selaras dengan
kenaikan harga minyak. Jika kerajaan sendiri beri contoh untuk berjimat,
barulah masyarakat dapat terima,” katanya.
Menurutnya, sebarang isu ekonomi perlu ditangani secara serius oleh kerajaan.
“Kenaikan harga minyak misalnya bagaikan teori domino yang mempunyai
kaitan dengan banyak perkara. Apabila harga minyak meningkat, golongan
seperti peniaga, pemandu bas dan teksi dan ramai lagi akan terkesan.
“Malah, kos hidup yang tinggi juga boleh menjadi faktor peningkatan kes
jenayah. Oleh itu, kerajaan perlu beri perhatian lebih dalam isu
ekonomi,” katanya.
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/potong-elaun-menteri-kurangkan-majlis-keramaian-1.198772
sila naikkan gaji *pitam ~
ReplyDeleteBertuah sangat kalau cadangan ni diluluskan oleh yg berkenaan. Harapan je la yop!
ReplyDelete