SHAH ALAM – Lima lelaki termasuk seorang warga emas maut, selepas
terlibat dalam kemalangan ngeri membabitkan empat motosikal serta dua
kereta di Kilometer 10.5, Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Klang, awal
pagi, semalam.
Sebelum kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi, dua mangsa yang
menunggang motosikal iaitu Muhammad Faridzuan Mohd Aziz, 21, Amirul Faiq
Zainuddin, 22, dan seorang lagi rakan mereka dikatakan dalam perjalanan
dari Kuala Lumpur untuk pulang ke Klang.
Bagaimanapun, motosikal seorang daripada mereka mengalami kerosakan,
menyebabkan ketiga-tiga penunggang itu berhenti di lorong kecemasan
lebuh raya untuk membaiki motosikal berkenaan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata,
ketika ketiga-tiga mangsa sedang membaiki motosikal tersebut, datang
sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu seorang penyelia sebuah
kilang iaitu, Wilson Lee, 22, terus merempuh mereka.
“Kenderaan dipandu Wilson dipercayai hilang kawalan dan melanggar
Muhammad Faridzuan serta Amirul Faiq, manakala seorang lagi rakan mereka
sempat menyelamatkan diri.
“Selepas merempuh dua mangsa terbabit, kereta dipandu Wilson
berpusing beberapa kali, sebelum terhumban ke dalam longkang kira-kira
300 meter dari lokasi kejadian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu
Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, semalam.
Beliau berkata, Wilson turut tercampak keluar sejauh lima meter dari kenderaannya.
“Dua mangsa yang menunggang motosikal serta pemandu kereta itu mati
di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya.
Zahedi berkata, tidak lama selepas kejadian berlaku, terdapat sebuah
kereta jenis BMW dinaiki empat lelaki berhenti kira-kira 100 meter
selepas lokasi kejadian.
Beliau berkata, seorang daripada penumpang kereta itu, keluar untuk membantu semua mangsa yang terlibat dalam kemalangan.
Katanya, namun malang bagi penumpang itu, M Kalaychelven, 50, apabila
dia pula dirempuh oleh sebuah motosikal lain sehingga menyebabkannya
putus kaki kiri serta cedera parah di kepala.
“Kalaychelven serta penunggang motosikal yang melanggarnya, Syahmie
Farid Izzat Samsudin Shah, 21, turut disahkan meninggal dunia di lokasi
kejadian,” katanya.
Ketika ditanya berhubung dakwaan mengatakan pemandu Honda City iaitu
Wilson mabuk, Zahedi berkata, pihaknya sudah mengambil sampel darah
mangsa untuk diuji bagi mengesahkan sama ada dia berada di bawah
pengaruh alkohol atau tidak ketika kejadian berlaku.
Menurutnya, mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan
Rahimah, Klang untuk dibedah siasat dan sudah dituntut oleh keluarga
masing-masing tengah hari semalam.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -SH
seram tengok gambar yang kawan amik errr
ReplyDeletealfatihah tok kwn2 adik
ReplyDeleteAlfatihah..semoga menjadi iktibar kepada semua..
ReplyDelete